Pihak berkuasa Indonesia mengumumkan pernikahan seorang remaja lelaki dengan seorang nenek di Lengkiti, Ogan Komering Ulu (OKU), sebagai tidak sah.
Media tempatan hari ini melaporkan pernikahan itu dibatalkan kerana tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa agama setempat.
Ketua Jabatan Agama Wilayah Sumatera Selatan, Alfajri Jabidi, berkata pihaknya turut memberi teguran kepada pegawai agama setempat kerana membiarkan pernikahan itu berlangsung.
"Saya tegur pegawai di sana, termasuk ketua urusan agama. Siasatan perlu dibuat, seperti syariatnya bagaimana, keabsahannya bagaimana.
"Semuanya harus diselidik untuk memastikan ia mematuhi peraturan sama ada dari pandangan agama atau undang-undang negara," katanya seperti dilaporkan Kompas.
Selamat Riyadi Husni, 16, dinikahkan dengan Rohaya Kiagus Muhammad Jakfar, 71, selepas mereka saling mengenali beberapa lama.
Mempelai itu diijabkabulkan pada 4 Julai. Ia disahkan Ketua Polis Lengkiti, Ipda Ahsum.
"Pernikahan berlangsung atas persetujuan masyarakat setempat, sebab pasangan ini mengancam untuk membunuh diri jika niat mereka dihalang," katanya.
“Alhamdulillah, kami sudah rasmi bernikah” kata Selamat pula, sambil diangguk Rohaya ketika ditemui Kompas Isnin lalu.
Tak dapat kebenaran
Mengakui pernikahan itu mendapat tentangan keluarga, Selamat berkata, dia begitu mencintai Rohaya - wanita yang sebelum ini dipanggilnya dengan nama Bibik.
Kata Alfajri, pernikahan itu terjadi kerana pelbagai faktor, termasuk dari segi tahap pendidikan, agama serta keadaan semasa masyarakat.
Sementara itu Ketua Lembaga Pemberdayaan Perempuan dan Perlindungan Anak (PPPA) Sumatera Selatan Susna Sudarti, menegaskan pernikahan di bawah umur sepatutnya tidak dizinkan.
"Ia boleh mengganggu psikologi dan masa depan kanak-kanak," katanya.
Kes itu turut mendapat perhatian Menteri Sosial Indonesia, Khofifah Indar Parawansa.
Katanya apa yang berlaku itu tidak sepatutnya berlaku.
"Kementerian sudah menjalankan siasatan dan mendapati pernikahan itu berlangsung bukan secara sah dan tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa agama," katanya.
Semakan pegawai kerajaan setempat mendapati pasangan Selamat - Rohaya dinikahkan di Kampung Karang Endah. Seorang lelaki dikenali sebagai Ibnu Hajar menjadi wali wanita dan menikahkan pasangan terbabit di depan dua saksi yang dikenali sebagai Komarudin dan Charles.
Kata Khofifah, mengikut undang-undang Indonesia seseorang lelaki hanya boleh berkahwin pada usia sekurang-kurangnya 19 tahun, manakala wanita ialah 16 tahun.