Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersedia untuk bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan penahanan seorang pegawai SPRM kerana disyaki meminta wang dari anggota polis.
Dalam satu kenyataan hari ini, SPRM menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan kesalahan pegawai terbabit yang dilakukan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang semalam.
"Perbuatan seumpama itu sama sekali tidak mewakili suruhanjaya yang sentiasa mendukung prinsip undang-undang dan Perlembagaan negara dalam melaksanakan setiap tanggungjawab yang diamanahkan," katanya.
Justeru, SPRM mengalu-alukan tindakan tegas pihak polis dalam melaksanakan penahanan itu dan tidak akan mencampuri siasatan yang dijalankan.