Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) dengan tiga agensi bagi membantu peminjam mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian.
Tiga agensi itu ialah Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM)), Jobstreet.com Sdn Bhd dan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia.
Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan berkata sebagai peneraju pinjaman pendidikan agensi itu melihat masalah yang dihadapi peminjam yang sukar mencari pekerjaan sebagai satu masalah yang turut dirasai PTPTN.
"PTPTN memahami isu yang dihadapi oleh peminjam dan sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) PTPTN kepada peminjam, langkah tersebut diambil bagi membantu mengatasi masalah ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis pertukaran MOU di antara PTPTN dan ketiga-tiga agensi tersebut di Kuala Lumpur,
Majlis itu turut disaksikan Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Kata Wan Saiful, membantu mendapatkan pekerjaan dalam kalangan peminjam bukanlah dalam bidang kuasa dan fungsi PTPTN.
Namun katanya pendekatan tersebut diambil sebagai sebahagian daripada usaha PTPTN membantu peminjam mencari pekerjaan dan memudahkan urusan mereka memulakan bayaran balik pinjaman selepas tamat pengajian.
Beliau berkata kerjasama melalui MOU itu sekaligus akan meningkatkan prestasi bayaran balik pinjaman demi kelangsungan generasi akan datang dan dijangka memanfaatkan sejuta peminjam.