Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad agak pelik dengan sikap sesetengah penjawat awam beragama Islam yang berfikiran bahawa menerima rasuah baik-baik saja kerana ia kurang berdosa berbanding minum alkohol.
Berucap pada majlis perjumpaan dengan lebih 1,000 pegawai kanan kerajaan di Putrajaya, katanya, kakitangan awam hari ini kelihatan lebih warak daripada mereka yang berkhidmat pada zaman British.
“Saya teringat tentang pegawai-pegawai di zaman British. Mereka tidak banyak terlibat dengan rasuah. Tapi lagak mereka seperti pegawai British. Mereka minum arak dan sebagainya.
“Tapi sekarang ini kita tak minum lagi. Sekarang ini lebih warak dari dulu. Ramai dari kita ada tanda di dahi, sebab mereka sembahyang. Jelas lagi karakter pegawai-pegawai sekarang ini ini sudah bertukar.
“Pegangan mereka pada ajaran agama lebih kuat dari dulu. Tapi kita dapati walaupun kuat pegangan agama, sembahyang, puasa, umrah tiga hingga empat kali, tapi bila duit datang, (mereka) terima juga.
“Ini yang pelik. Kalau arak tu haram, rasuah itu dua, tiga kali kali lebih teruk. Sebab itu kita hapuskan amalan rasuah ini,” katanya.