Seramai 510 gelandangan ditempatkan sementara di empat dewan serba guna di sekitar Kuala Lumpur selepas diselamatkan bagi membendung penularan COVID-19.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama agensi lain mengambil inisiatif menyelamatkan gelandangan yang berada di sekitar pusat bandar raya Kuala Lumpur bermula 26 Mac lalu hingga semalam.
"Sepanjang operasi ini kami mengenal pasti beberapa lokasi panas bagi gelandangan dengan menjadikan ia tempat bermalam.
"Mereka yang diselamatkan ini ditempatkan di tempat dewan serba guna iaitu di Pusat Komuniti Sentul Perdana, Pusat Komuniti Setiawangsa, Dewan Serbaguna Alam Damai dan Dewan Serbaguna Tasik Ampang Hilir," katanya selepas melawat gelandangan di Pusat Komuniti Sentul, di sini, hari ini.
Beliau berkata selain gelandangan warga tempatan ada juga warga asing dipercayai dari Indonesia, Myanmar, Vietnam, Jepun, India, Syria, Mesir, Sri Langka, Korea, Pakistan dan Somalia yang akan ditempatkan sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat.