Kementerian Belia dan Sukan akan menghantar satu kontinjen atlet yang besar untuk Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang akan membuka tirai pada 24 Julai ini.
Itu jaminan awal yang diberikan menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sambil menegaskan pihaknya sudah melabur sejumlah dana yang besar untuk menjayakan Road To Tokyo 2020 itu.
“Atlet yang layak kita memang nak hantar tetapi kalau boleh lagi besar…lagi banyak lebih baik. Ini bukan masalah penamaan.
“Alhamdulillah, semua berjalan baik selepas berbincang dan berunding agak panjang dengan Kementerian Kewangan dan Perdana Menteri. Kali ini dana yang besar ditambah bagi industri sukan, jadi saya rasa menjelang Tokyo 2020, banyak yang kita mahu buat dan kita cuba sebaik mungkin buktikan lebih banyak atlet dan paralimpik yang dapat melayakkan diri,” katanya selepas menyempurnakan pembukaan Bangunan Baharu Blok B Pusat Belia Antarabangsa di Cheras, semalam.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Seri Norza Zakaria yang memutuskan penyertaan atlet dalam lingkungan 30 atlet berkualiti sahaja dibawa ke Tokyo 2020.