Pelajar universiti didakwa sebabkan budak tercampak ke lebuh raya

KiniTV 2020-02-18

Views 2.5K

Dua lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Rembau hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan seorang kanak-kanak lelaki tercampak keluar dari kenderaan ke tengah lebuh raya, awal bulan ini.

Tertuduh, Nabil Hariz Jefridin, 23, dan B Thayalan, 20, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu yang dibacakan secara berasingan di hadapan majistret Tan Chai Wei.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua lelaki terbabit didakwa memandu kereta masing-masing secara berbahaya kepada orang awam di laluan Ayer Keroh ke Senawang, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) pada 3.21 petang 10 Feb lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM15,000, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ummi Amyra Natasha Azhar menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin untuk setiap tertuduh, tetapi peguam Muhammad Farhan Ahmad Fadzil yang mewakili Nabil Hariz memohon ia dikurangkan dengan alasan anak guamnya merupakan seorang pelajar universiti dan tidak mempunyai pendapatan.

Thayalan yang tidak diwakili peguam turut memohon jaminan rendah.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Mac untuk sebutan semula kes.

Kedua-dua tertuduh membayar jaminan itu.

Share This Video


Download

  
Report form