Kementerian Dalam Negeri (KDN) diminta menyiasat pembabitan pemimpin DAP dalam penerbitan komik propaganda, ‘Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama’ yang diwartakan sebagai bahan terlarang.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata siasatan perlu dilakukan kerana nama pemimpin parti itu ada dalam komik berkenaan.
“Nama Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng secara nyata ada dalam komik terbabit sebagai penulis di ruangan kata pengantar. Komik ini sudah dinyatakan oleh KDN sebagai cubaan menyebar ideologi komunisme, sebab itu kami bimbang,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Bagaimanapun, katanya, pembangkang menghargai tindakan KDN mengharamkan pengedaran komik berkenaan.
KDN semalam mewartakan perintah larangan terhadap komik itu termasuk dalam versi Bahasa Inggeris dan Cina kerana cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme selain menyebarkan fakta salah serta mengelirukan.
Dalam pada itu, Ismail Sabri yang juga ahli Parlimen Bera meminta Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) menyemak semula pendaftaran DAP jika terbukti parti itu terbabit secara langsung dengan penerbitan komik itu.
“Komik ini seolah-olah cubaan menghalalkan perjuangan komunis di negara kita.
Ideologi komunisme adalah haram di sisi undang-undang negara kita.