Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abd Samad mengakui Dewan Bandaraya Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuat kesilapan berkenaan jumlah permohonan gegantung untuk Himpunan Penyatuan Ummah yang dijadual berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putran (PWTC) esok.
“Menurut surat DBKL yang saya baca, menyatakan jumlah yang dipohon ialah 150, dan itulah yang diberi kelulusan. Maka dalam ciapan saya, saya rujuk pada surat DBKL dan menyatakan itulah permohonan yang diterima oleh DBKL.
“Kemudian, Umno mengatakan sebenarnya mereka mohon untuk 1,000. Bila saya dapat maklumat dari DBKL semula, mereka sahkan bahawa Umno pohon 1,000.
"Lalu saya tanya kenapa dalam surat DBKL kata pohon 150? Mereka kata ada tersilaplah dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah 1441H Peringkat Wilayah Persekutuan di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur hari ini.
eliau mengulas sindiran bekas perdana menteri Najib Razak yang mendakwanya “meroyan” berhubung isu tersebut selepas penjelasannya di Twitter berkenaan perkara itu.
Terdahulu, Anggota Majlis Tertinggi Umno Mohd Razlan Rafii memetik nama Khalid dalam ciapannya dengan mendakwa menteri itu mengarahkan penurunan gegantung tersebut.
Khalid kemudian berkata permohonan hanya melibatkan 150 gegantung, dan Razlan kemudian melampirkan surat yang menunjukkan Umno memohon untuk 1,000 gegantung.
Khalid kemudian memuat naik surat permohonan Umno dan surat DBKL yang menunjukkan perbezaan jumlah itu.
“DBKL sahkan permohonan Umno ialah 1,000 gegantung. DBKL minta maaf kerana sebut permohonan untuk 150 dalam surat kelulusan mereka. Saya rujuk surat DBKL. Namun DBKL tanya, lulus 150 kenapa pasang 1,000? Lepas tu riuh bila DBKL turunkan yang lebih tu. Saya jawab 'kena tanya Najib',” katanya di Twitter semalam.
Susulan itu Najib memuat naik status Facebook yang menyifatkan Khalid “meroyan”.