Dr. Rozaimi berkata, pengusaha Muslim juga perlu mengubah mentaliti mereka dengan berdisplin ketika menjalankan perniagaan dan tidak mengambil kesempatan.
Katanya, mereka seharusnya menjalankan perniagaan bersungguh-sungguh dengan menyediakan kualiti dan khidmat terbaik.
“Orang Muslim bila berniaga kena ubah mentaliti, ambil peluang bukan ambil kesempatan, jual benda yang berfaedah, bukan jual produk sampah. Kadang-kadang produk tak ada khasiat, dia tambah.
“Saya tak nafi, saya sendiri sebagai Muslim kadang-kadang bila kita nak tolong orang Muslim, disiplin tak ada (dalam kalangan) peniaga Muslim.
“Kita pergi kedai tutup, tutup tiba-tiba tanpa ikut jadual, lama-lama orang fed up, layanan tak bagus, kadang-kadang dia main tengking-tengking. Manusia ada jiwa dan perasaan,” katanya.
Tambahnya, sekiranya orang Islam terasa hati dengan komen bukan Islam serta berhasrat nak bantu perniagaan orang Islam, peniaga harus menjalankan perniagaan bersungguh-sungguh.
“Dalam masa yang sama, kita tidak menindas orang bukan Islam. Kita tak boikot tapi utamakan produk Muslim sebab kadang-kadang mereka berniaga produk baru nak naik,” katanya.