Bekas presiden Umno Najib Razak berkata istilah 'cash is king' yang dikaitkan dengannya disalah tafsir oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Kata Najib, Dr Mahathir mungkin tidak faham atau sengaja mengelirukan istilah itu, yang menurut Najib maksud sebenar yang cuba disampaikan ialah rakyat adalah raja.
“Cash is king saya maksudkan bukan secara literal, maksud saya rakyat itu 'king' (raja). Sebab kita gunakan duit bantu rakyat.
“Mungkin dia (Dr Mahathir) tak faham atau sengaja tak faham,” katanya di Wacana Ilmu Hard Truth: Cash is King anjuran Penerangan Umno Malaysia di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur, malam ini.
Ahli Parlimen Pekan itu turut mengambil BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) sebagai contoh.
“BR1M ini ada dua peranan. Yang pertama, BR1M diberikan kepada yang miskin luar bandar dan miskin bandar tak kira bangsa.
“Ada yang tidak ada pakaian, makanan, masalah keluarga, usur dan sebagainya dikategorikan sebagai golongan B40 (berpendapatan rendah).
“Jadi, kita kutip hasil GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) dan beri kepada golongan miskin tanpa mengambil kira idelogi politik,” katanya.
Tambahnya, pemberian BR1M pada masa yang sama juga menjadi pemangkin ekonomi negara.
“Sebagai contoh, di kawasan saya Pekan, sebanyak RM28 juta diperuntukkan menerusi BR1M.
“Cuba fikir bagaimana kuasa membeli?” katanya sambil menambah bahawa BR1M adalah cadangan daripada Bank Negara Malaysia (BNM).
Menurutnya, BR1M diperkenalkan selepas BNM mencadangkan untuk menubuhkan skim membantu rakyat dengan memberikan bantuan duit.
Istilah 'cash is king' yang secara literal bererti 'duit adalah raja', juga boleh membawa makna 'duit adalah segala-galanya'. Istilah itu sering diungkapkan bagi menggambarkan bahawa duit dapat membeli segala-galanya termasuk pengaruh dan kuasa.
Istilah itu juga sering digunakan pemimpin PH ketika berkempen menentang pentadbiran BN di bawah Najib, yang kini berdepan dakwaan mahkamah berhubung penyalahgunaan kuasa, rasuah, dan pecah amanah.