Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menafikan kenyataannya yang mengulas mengenai skandal video seks di blognya mempertahankan menteri kabinetnya Mohamed Azmin Ali.
Sebaliknya, kata Dr Mahathir, beliau tidak mahu diperalatkan oleh perancang yang berniat jahat dengan menggunakan politik kotor menjatuhkan seseorang.
Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas melancarkan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023, di sini hari ini.
Awal pagi tadi, di blognya, Dr Mahathir mengeluarkan kenyataan yang dipercayai mengulas mengenai skandal video yang membabitkan menteri kabinetnya Mohamed Azmin Ali.
Walaupun tidak menyebut nama timbalan presiden PKR itu secara khusus, pengerusi PH berkata "video ini dibuat dan ditular jelas untuk tujuan politik."
Menjelaskan lanjut, Dr Mahathir berkata skandal video seks tersebut bertujuan untuk menyingkirkan individu yang menjadi sasaran itu.
Pada 18 Julai lalu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador memaklumkan analisis Cybersecurity Malaysia mendapati video seks berkenaan adalah tulen, namun proses pengecaman wajah adalah negatif.
Bulan lalu, video seks sejenis yang menampilkan dua lelaki disebarkan oleh individu tidak dikenali kepada ahli-ahli politik dan wartawan.
Selepas itu, bekas ketua Pemuda PKR (AMK) Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz tampil mendakwa beliau adalah lelaki dalam video itu dan mendakwa pasangannya adalah Azmin Ali.
Menteri hal ehwal ekonomi menafikan dakwaan berkenaan dan menyifatkan video itu sebagai fitnah dan cubaan untuk memusnahkan kerjaya politiknya.