Dalang penyebaran dan penerbitan video seks yang tular di media sosial yang didakwa mirip Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali, wajar dihukum, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Kata Dr Mahathir, ini bukan cara berpolitik yang diamalkan.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan pemberita selepas melancarkan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023 hari ini.
Pada 18 Julai lalu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador memaklumkan analisis Cybersecurity Malaysia mendapati video seks berkenaan adalah tulen, namun proses pengecaman wajah adalah negatif.
Bulan lalu, video seks sejenis yang menampilkan dua lelaki disebarkan oleh individu tidak dikenali kepada ahli-ahli politik dan wartawan.
Selepas itu, bekas ketua Pemuda PKR (AMK) Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz tampil mendakwa beliau adalah lelaki dalam video itu dan mendakwa pasangannya adalah Azmin Ali.
Menteri hal ehwal ekonomi menafikan dakwaan berkenaan dan menyifatkan video itu sebagai fitnah dan cubaan untuk memusnahkan kerjaya politiknya.