Pasukan petugas khas siasat kes Amri dulu

KiniTV 2019-06-26

Views 837

Pasukan petugas khas yang ditubuhkan Kementerian Dalam Negeri akan menyiasat kes membabitkan Amri Che Mat terlebih dahulu sebelum diikuti kehilangan paderi Raymond Koh.

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata langkah itu diambil bagi mengelakkan berlaku isu subjudis.

"Kes Koh sudah dibawa ke mahkamah dan ada seorang yang dituduh.

"Justeru untuk tidak dikatakan subjudis, pasukan petugas ini akan melihat kepada kes Amri terlebih dahulu," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Terdahulu Muhyiddin menyerahkan surat pelantikan kepada enam anggota pasukan petugas yang akan meneliti kes kehilangan paksa dua individu terbabit.

Bulan lalu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) memutuskan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia terbabit dalam kehilangan Koh dan Amri.

Pada tahun lalu seorang pemandu separuh masa Grab, Lam Chang Nam, 31, dituduh atas dakwaan menculik Koh.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Lam - bersama tujuh individu lain yang masih bebas - menculik Koh di Petaling Jaya kira-kira jam 10.25 pagi pada 13 Feb 2017.

Dia didakwa memeras ugut keluarga Koh sebanyak RM30,000 bagi membebaskan paderi terbabit.

Kes itu masih dibicarakan di mahkamah.

Menurut Muhyiddin selepas kes berkaitan penculikan Koh diselesaikan, barulah pasukan petugas khas berkenaan meneliti kesnya.

Katanya KDN berpendapat wujud kegusaran mengenai integriti Polis Diraja Malaysia dalam kalangan orang awam ekoran dapatan Suhakam tersebut.

Katanya, ia juga tidak adil kepada PDRM sebagai pihak yang dituduh dalam pendengaran berkenaan.

"KDN berpendapat laporan Suhakam itu sesuatu yang serius dan wajar diteliti. Sebab itu kerajaan perlu menyiasat laporan Suhakam supaya adil kepada semua pihak," katanya.

Share This Video


Download

  
Report form