Petugas khas ada masa 6 bulan teliti kes Amri, Raymond

KiniTV 2019-06-21

Views 583

Pasukan Petugas Khas bagi meneliti laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berhubung kehilangan Pastor Raymond Koh Keng Joo dan aktivis sosial Amri Che Mat diberikan masa selama enam bulan untuk menyediakan syor kepada kerajaan.

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata nama-nama individu yang akan menganggotai pasukan itu telah dibawa ke kabinet dan akan diumumkan minggu depan.

"Kita tentukan mereka yang dipilih adalah tidak berat sebelah, mempunyai obligasi yang diperlukan supaya hasil laporan dan syor tidak dikatakan berat sebelah,” katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri Kementerian Dalam Negeri di Serdang pada Khamis.

Pada 23 Mei lepas, Muhyiddin mengumumkan kabinet bersetuju menubuhkan pasukan petugas khas yang bakal dianggotai antara enam dan tujuh individu bertujuan meneliti laporan Suhakam, seterusnya mengesyorkan tindakan wajar yang perlu diambil oleh kerajaan atau pihak yang bertanggungjawab dalam kes kehilangan dua individu tersebut.

Muhyiddin berkata berdasarkan laporan Suhakam itu, kerajaan juga telah menyediakan terma rujukan khusus untuk panduan pasukan petugas khas itu sepanjang proses berkenaan.

"Tempoh enam bulan dirasakan sesuai bagi pasukan tersebut meneliti laporan dan menyediakan syor tertentu bagi dibentangkan kepada jemaah menteri," katanya.

Pasukan petugas khas itu juga harus mengambil maklum bahawa ada kes berkaitan paderi itu sedang dibicarakan di mahkamah, katanya. - Bernama

Share This Video


Download

  
Report form