Seorang pemimpin NGO Hindu hari ini berkata pendedahannya mengenai kebocoran maklumat dalam satu siasatan kes tanah kuil yang sedang berlangsung tidak bermaksud mempertikaikan integriti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Penasihat Persatuan Hindu Agamam Ani Malaysia, Arun Dorasamy memberitahu sidang akhbar hari ini bahawa beberapa laporan polis telah dibuat terhadapnya oleh pihak-pihak yang tidak berpuas hati terhadap tindakannya itu.
"Saya tahu minggu lepas beberapa laporan polis telah dibuat terhadap saya, menyatakan bahawa saya telah menghina SPRM, saya telah mempertikaikan integriti SPRM.
"Saya tidak pernah mempersoalkan integriti SPRM," tegasnya.
Pada 18 Mei, Arun meminta SPRM supaya menyiasat tiga pegawainya yang didakwa membocorkan maklumat yang dikaitkan dengan kes yang melibatkan seorang "Tan Sri" dan anaknya.
Beliau mendakwa tiga pegawai SPRM bertemu dengan anak lelaki Tan Sri tersebut untuk bersarapan pagi pada 4 Mei lalu iaitu hari sama pasukan suruhanjaya pencegahan rasuah yang berasingan telah menyerbu rumah mereka, menangkap mereka dan memperoleh perintah reman tiga hari di bawah Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.
Menurut Arun, sebagai seorang warga negara yang baik memang menjadi tanggung jawabnya mendedahkan salah laku sebegitu.
"Pada masa yang sama menjadi kewajipan kami sebagai warga negara (untuk membuat pendedahan) apabila kamu mempunyai bukti yang cukup mengenai pembabitan segelintir pihak yang memalitkan nama buruk kepada suruhanjaya itu.
"Hanya kerana kami mengenal pasti beberapa pihak yang tidak baik ia tidak bermakna kami mempersoalkan integriti institusi kami," katanya pada sidang media menjelang Persidangan Kuil Dan Khidmat Masyarakat kedua anjuran NGOnya di Dewan sivik Petaling Jaya hari ini.
Arun juga mendedahkan bahawa beliau lah orang yang telah membuat laporan SPRM sehingga mencetuskan serbuan pada 4 Mei itu.
Jelasnya lagi, maklumat yang didakwa dibocorkan itu berkenaan dengan siasatan berterusan SPRM terhadap pembangunan sebidang tanah milik kuil Sri Mahamariamman Devasthanam di Jalan Bandar, Kuala Lumpur.