Peguam Negara Tommy Thomas memberi amaran penjawat awam yang melakukan sabotaj atau membocorkan maklumat akan didakwa jika ada cukup bukti untuk berbuat demikian.
Mengakui kewujudan masalah itu, Thomas membangkitkan bagaimana Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri pernah memberitahu media tentang kerisauannya akan penjawat awam yang membocorkan maklumat terhadap pentadbiran lalu.
"Jika anda tanya mana-mana menteri, mereka juga berdepan masalah sama. Ini kerana ada penjawat awam yang begitu lama bawah regim terdahulu (BN).
"Saya pasti akan ada pendakwaan berkenaan perkara ini," katanya ketika sesi soal jawab di taklimat anjuran Badan Peguam Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.
Kemudian ketika ditanya pemberita tentang bila dakwaan akan dibuat, Thomas berkata beliau belum menerima kertas siasatan berhubung kes seumpama itu.