Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu mengambil iktibar insiden serangan oleh seorang pengganas di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand sebelum membuat keputusan untuk memansuhkan hukuman mati.
Bekas Ketua Polis Negara, Musa Hassan, berkata keberanian pengganas bertindak dalam insiden yang mengorbankan 50 nyawa itu antaranya didorong ketiadaan hukuman mati di negara itu.
"Contoh di New Zealand, mereka berani buat begitu (menyerang) kerana mereka tahu di di New Zealand bunuh orang tidak dikenakan hukuman mati.
"Kalau saya bunuh orang sekali pun saya tidak akan dihukum mati.
"Bahkan kalau kita lihat video yang tersebar membabitkan temu bual dengan emak pengganas (serangan masjid), ibunya pun merasakan yang anaknya itu patut dihukum mati," katanya dalam sidang media di wisma MCA, Kuala Lumpur, hari ini.
Bagaimanapun beliau setuju hukuman mati untuk kes-kes tertentu, termasuk mereka yang menjadi mangsa "kedai dadah", perlu dikaji semula dan memadai jika dikenakan hukuman penjara.
Jemaah menteri 13 Nov lalu memutuskan hukuman mati mandatori bagi 33 kesalahan di bawah 8 akta dimansuhkan, termasuk Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ini memberikan kuasa budi bicara bagi hakim untuk memutuskan hukuman itu bagi 33 kesalahan berikut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong berkata keputusan yang dicapai secara kolektif pada 10 Oktober lalu dan melibatkan antaranya Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat 1971), Akta Senjata 1960, Akta Penculikan 1961 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.