'Perang tol' di antara PH dan pembangkang berterusan lagi.
Kali ini giliran Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin membidas bekas presiden Umno Najib Razak yang menyindir pengumuman kerajaan untuk menghapuskan mekanisme kutipan tol sedia ada.
Kata Muhyiddin walaupun dianggap remeh oleh pembangkang, sekurang-kurangnya kerajaan PH berjaya mengambil langkah awal bagi mengotakan janji mereka untuk menghapuskan tol.
Keadaan itu, katanya, berbeza dengan BN semasa menjadi kerajaan apabila mereka hanya tahu berbincang tetapi tanpa penyelesaian.
Muhyiddin berkata demikian dalam ceramah isu-isu semasa di padang permainan Pangsapuri Fasa 6 di pusat daerah mengundi (PDM) Bandar Tasek Kesuma malam ini.
Tambah Muhyiddin, Najib sekarang hanya tahu mempersoalkan kenapa PH tidak melakukan pengumuman mengenai tol itu lebih awal.
Sedangkan kata Muhyiddin bekas perdana menteri keenam Malaysia itu sendiri tidak dapat melunaskan janji mengenai tol setelah beberapa tahun menjadi perdana menteri.
Semalam, kerajaan mengumumkan telah memulakan proses rundingan dengan Gamuda Berhad untuk mengambil alih konsesi empat lebuh raya yang mempunyai pegangan syarikat terbabit.
Pengambilalihan tersebut adalah bagi menghapuskan mekanisme kutipan tol sedia ada, dan akan digantikan dengan pengenalan caj kesesakan (congestion charge).
Melalui perkiraan baru caj tersebut, pengguna lebuh raya dikenakan caj yang sama dengan kadar tol sekarang pada pada waktu puncak selama enam jam sehari.
Bayaran tol untuk waktu di antara 11 malam dan 5 pagi pula dihapuskan.