Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata pengundi Islam wajib menyokong calon BN di pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands yang akan berlangsung kurang 24 jam dari sekarang.
“Kita minta supaya pengundi-pengundi khususnya bagi penganut agama Islam, wajib mereka menyokong calon yang ada sifat keagamaan, calon yang memegang tiket BN, yang kita kenal.
“Dimaklumkan dia seorang pegawai polis yang tak pernah melakukan apa-apa salah laku, semasa khidmat dia jadi anggota polis,” katanya.
Saranan itu disuarakan Abdul Hadi selepas menyampaikan kuliah di Rusila hari ini.
Tambah Hadi, umat Islam tidak sepatutnya memilih calon DAP yang menurutnya menunjukkan tanda-tanda negatif yang tak dapat disembunyikan terhadap Islam.
Kata Hadi, DAP merupakan oportunis untuk mendapat kuasa politik tanpa mengambil kira kedudukan Islam sebagai agama persekutuan serta hak mengamalkan agama lain seperti yang termaktub dalam perlembagaan.