Istiadat Bersiram Tabal selesai disempurnakan

Idea Kita 2018-07-11

Views 26

KUALA KANGSAR 7 Mei - Istiadat Bersiram Tabal Sultan Perak yang merupakan antara komponen Tabal Pusaka telah disempurnakan oleh Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Tuanku Zara Salim.

Baginda berdua tiba pada pukul 10.40 malam di kawasan Panca Persada yang menjadi tempat bersiram dengan memakai persalinan Istiadat Bersiram Tabal dengan kain putih bersulam benang emas.

Sebanyak 23 anak tangga dinaiki baginda berdua untuk sampai ke puncak Panca Persada setinggi 11 tingkat atau lebih kurang 7 meter.

Selepas itu, Toh Nara Diraja, Mohd. Shah Nong Chik memulakan Istiadat Bersiram Tabal dengan menuang air yang diambil dari tujuh kuala Sungai Perak.

Istiadat Bersiram Tabal itu turut disaksikan oleh kerabat-kerabat diraja Perak dan para kenamaan.

Semasa Istiadat Bersiram Tabal itu yang berlangsung selama 5 minit, kelihatan baginda berdua tersenyum sebelum istiadat itu diselesaikan.

Selesai istiadat ini, baginda berdua berangkat turun dari Panca Persada berselimut dengan kain benang emas dan berangkat pulang ke istana diringi dengan paluan nobat.

Setelah menyalin pakaian, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara berangkat masuk ke dalam Balairong Seri semula dan bersemayam di atas singgahsana.

Istiadat Merenjis Air Panca Bicara dilangsungkan dan setelah selesai istiadat itu diikuti pula Istiadat Santapan Nasi Berastakona dan Majlis Santapan Malam. - UTUSAN ONLINE

Share This Video


Download

  
Report form