Sultan Nazrin, Tuanku Zara sempurna istiadat turun temurun

Idea Kita 2018-07-11

Views 1

KUALA KANGSAR 8 Mei - Istiadat Pertabalan Sultan Perak ke-35 diteruskan dengan Istiadat Menziarahi Makam hari ini di mana ia dimulakan dengan menziarahi makam Tok Temong yang terletak di Kampung Temong Hulu di sini.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim tiba di Makam Tok Temong kira-kira pukul 9.10 pagi dengan disambut oleh rakyat.

Istiadat dimulakan dengan majlis tahlil dan doa selamat. Kemudian disusuli dengan Sultan Nazrin mengikat kain kuning ke batu nisan makam Tok Temong.

Baginda turut menabur bunga dan air mawar bagi melengkapkan istiadat. Selepas Sultan Nazrin menyempurnakan istiadat, Tuanku Zara Salim kemudian menurutinya dengan menabur bunga mawar dan air mawar di atas pusara.

Baginda berdua kemudian beramah mesra seketika dengan rakyat sebelum pulang.

Sementara itu di IPOH, tengah hari tadi, Sultan Nazrin turut menyertai ratusan jemaah untuk solat Jumaat di Masjid Sultan Azlan Shah.

Baginda turut meluangkan masa bersalaman dengan rakyat jelata sesudah solat Jumaat di situ.

Di GOPENG pula, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara turut mencemar duli berangkat ke Makam Bendahara Raja Alang Iskandar atau dikenali sebagai Marhum Teja di Kota Bharu.

Baginda berdua tiba pada pukul 4.10 petang dan menyertai lebih 2,000 rakyat daerah ini untuk majlis tahlil dan doa selamat.

Sultan Nazrin selepas itu turut menabur bunga dan menyiram air mawar ke Makam Bendahara Raja Alang Iskandar diikuti oleh Tuanku Zara Salim.

Negeri Perak telah menyaksikan pertabalan 35 orang sultan yang berdaulat sejak Raja Mudzaffar Shah ditabal sebagai Sultan dan Raja Pemerintah negeri Perak yang pertama pada tahun 1528.

Sejak Sultan Mudzaffar Shah mangkat pada tahun 1540 dan dimakamkan di Lambor Kanan, jenazah 29 Almarhum Sultan Perak telah dimakamkan di Perak kecuali empat orang sultan. - UTUSAN ONLINE

Share This Video


Download

  
Report form