KUALA LUMPUR 16 April - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mencemar duli turun padang meninjau sendiri sistem pengangkutan awam perkhidmatan rel di ibu negara.
Baginda memulakan lawatan dengan menaiki tren LRT Rapid KL di Stesen Kelana Jaya dan turun di Stesen KL Sentral.
Baginda diiringi oleh Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad, Tan Sri Ismail Adam dan Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana, Azmi Abdul Aziz.
Ketibaan baginda di Stesen KL Sentral disambut oleh Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar dan Pengarah Urusan Kumpulan MRCB, Tan Sri Mohamed Salim Din.
Baginda kemudian menaiki Monorel di Stesen KL Sentral dan turun di Stesen Monorel Bukit Nanas.
Menurut jurucakap Istana Selangor, lawatan Sultan Sharafuddin berdasarkan titah baginda di Dewan Undangan Negeri Selangor yang mahu merasai sendiri perkhidmatan rel yang bakal melibatkan Selangor dalam projek LRT Jalur Ketiga.
Dalam titah tersebut, Sultan Sharafuddin berharap rakyat menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam yang sekaligus dapat mengatasi masalah alam sekitar.
Sultan Sharafuddin sebelum ini telah diberi taklimat oleh Ismail dan Azmi di Istana Alam Shah berkaitan prijek LRT Jalur Ketiga. - UTUSAN ONLINE