PAS mempersoalkan tujuan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi kerugian tukaran asing oleh Bank Negara Malaysia lebih dua dekad lalu.
Dalam kenyataan di Facebook, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bertanya jika motif sebenarnya adalah bertujuan menunjukkan adanya skandal yang berkadaran dengan 1MDB semasa tempoh pentadbiran bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Jika kerajaan ikhlas terhadap RCI ini, katanya, ia harus mendedahkan laporan umum juruaudit mengenai 1MDB yang telah diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi.
Pada Rabu, kerajaan mengumumkan Kabinet bersetuju untuk membentuk RCI untuk menyiasat kerugian tukaran mata wang berjumlah berbilion ringgit pada tahun 1980-an.
Kerajaan juga mendakwa, pasukan petugas yang meneliti skandal tersebut mendapati wujudnya unsur-unsur mengaburi fakta-fakta tertentu.
Pengumuman ini susulan tindakan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat yang membuat tuntutan jenayah sivil yang berkaitan 1MDB.