Polis Perak sedang memburu seorang pemandu lelaki yang didakwa memberi suapan kepada seorang anggota trafik seperti yang tular di media sosial, minggu lepas.
Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata pihaknya memerlukan individu tersebut bagi membantu siasatan selain menjalankan siasatan secara terperinci.
Beliau berkata anggota trafik berkenaan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh itu kini diberi tugas dalaman sementara menunggu hasil siasatan penuh oleh polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Kami memerlukan pemandu berkenaan supaya siasatan dapat diteruskan," katanya demikian pada sidang media selepas majlis pemakaian pangkat Asisten Superintendan (ASP) dan Sarjan peringkat Ibu Pejabat Kontinjen Perak di Ipoh hari ini.
Dalam video berdurasi tujuh saat itu, seorang anggota trafik dilihat bersalaman, dipercayai menerima suapan daripada seorang pemandu lelaki berbangsa Cina ketika menjalankan tugas.
Dalam pada itu, Hasnan berkata pembabitan kes rasuah dalam kalangan pegawai dan anggota polis di Perak masih terkawal dengan kurang daripada 10 anggota terbabit pada tahun ini.
"Setakat ini, tangkapan warga polis negeri Perak yang terlibat dalam kegiatan ini adalah seramai 15 orang dalam tempoh tiga tahun ini. Yang terakhir sekali, berlaku satu tangkapan lelaki berumur linkungan 30 hingga 40an di Selama, Perak, kira-kira dua minggu yang lepas," katanya.
Sementara itu, dalam majlis tersebut, 25 pegawai menerima kenaikan pangkat ASP, 141 (Sarjan) dan dua pegawai dipakaikan pangkat Superintendan (Supt).