PENYANYI Beby Acha memberitahu tiada istilah menumpang populariti selepas lagu baharunya yang berjudul Jerung Merah dikatakan sama dengan nama sebuah kumpulan yang popular menerusi aplikasi TikTok.
Ujar Beby atau nama sebenar Nur Aishah Md Shari, dia turut mengenali ketua kumpulan tersebut dan mengalu-alukan kehadiran mereka dalam industri nyanyi.
“Saya kenal yang sebelah sana, yang mereka kata Jerung Merah semua tu, dia sekarang pun dah jadi penyanyi jadi kita mengalu-alukan bakat-bakat yang baru.
“Tiada istilah tiru sesiapa, kita sama-sama dalam industri muzik... kita buat yang terbaik. Kita cari rezeki dan pada mulanya dapat lagu ini saya sedar tentang kewujudan kumpulan itu,” ujarnya kepada mStar.
Dalam pada itu Beby turut menjelaskan tentang bait lirik dalam lagu ini yang berbunyi, lagu si Jerung Merah, Beby Acha yang punya.
“Ramai yang cakap lagu Jerung Merah tu adalah lagu orang lain yang nyanyi, sedangkan masa pertama kali audio masuk di TikTok... memang suara saya.
“Cuma ada orang salah faham mengatakan itu bukan suara saya, jadi dekat situ kita tekankan lagu itu adalah saya, tiada maksud lain,” katanya.