Belum sampai 24 jam selepas Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz diangkat sebagai menteri kewangan baru, Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin memberi "peringatan" terhadap bekas CEO Kumpulan CIMB itu.
Bung merujuk dengan kenyataan Tengku Zafrul yang berharap isu politik tidak menganggu tugasnya di kementerian itu nanti.
Kata Bung dalam satu ciapan di Twitter, pelantikannya Tengku Zafrul merupakan satu gerakan politik, dan jika itu pendiriannya, lebih baik buka kementerian sendiri.
Kenyataan itu mendapat pelbagai reaksi dari pengguna media sosial.
Salah seorang pengguna media sosial mencadangkan agar Bung menarik balik kritikannya, namun pengerusi Umno Sabah itu membalas dengan kenyataan, "pantang undur, pantang minta maaf".
Dalam kiriman berasingan, Bung menjelaskan bahawa kritikan seperti itu adalah perkara biasa.