Hubungan Tun M dan PH tidak baik? Saifuddin kata akan jumpa Tun M

KiniTV 2020-03-10

Views 4.2K

Ketidakhadiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada program Pertahan Mandat Rakyat malam tadi mencetuskan khabar angin dalam kalangan ahli serta penyokong mengenai hubungan beliau dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa tidak lagi sehaluan.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menafikannya dengan alasan Dr Mahathir tidak dapat menghadiri program itu kerana baru pulang dari Langkawi.

"Saya akan jumpa Dr Mahathir esok (hari ini). Saya berhubung dengan pejabat Dr Mahathir sampai petang tadi (semalam).

"Pakatan Harapan (PH) mengundang Dr Mahathir untuk berucap pada program ini kerana gabungan ini dahulu mencalonkan beliau sebagai Perdana Menterii," katanya ketika ditemui media pada program Pertahan Mandat Rakyat di Pusat Konvensyen Sime Darby malam tadi.

Menurutnya, hubungan Dr Mahathir dan PH masih baik malah gabungan dalam PH juga masih utuh.

"Beberapa ahli Bersatu terutamanya akar umbi dari Perlis dan Sabah berada di sini bersama kami malam ini, kami masih utuh," katanya.

Sebelum ini, Dr Mahathir dilaporkan menyalahkan Anwar dan PH kerana menyebabkan beliau gagal dilantik semula sebagai Perdana Menteri.

Share This Video


Download

  
Report form