9:29 pagi: Tun M tiba di PMO, mulakan tugas PM interim

KiniTV 2020-02-25

Views 1.6K

Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini memulakan tugas sebagai Perdana Menteri interim.

Dr Mahathir dilihat memasuki Perdana Putra di Putrajaya, yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri, pada pukul 9.29 pagi.

Beliau, yang menaiki kenderaan rasmi dengan plat Malaysia 2020, membalas lambaian para wartawan yang membuat liputan di luar bangunan itu.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri interim, selepas menerima peletakan jawatannya semalam.

Pejabat Perdana Menteri mengumumkan dalam satu kenyataan bahawa Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri ketujuh semalam dan surat dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong pada 1.00 tengah hari.

Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali dalam kenyataan semalam memaklumkan Seri Paduka berkenan melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri interim, sementara menunggu pelantikan perdana menteri yang baharu selaras Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Mohd Zuki, dalam tempoh itu, Dr Mahathir akan menguruskan pentadbiran negara sehingga perdana menteri baharu dilantik dan Kabinet dibentuk.

Share This Video


Download

  
Report form