Sejumlah 20 penduduk sekitar Jalan Abdullah di Bukit Bandaraya, Bangsar melahirkan kebimbangan mereka mengenai beberapa projek pembangunan yang dijalankan berhampiran kediaman mereka.
Terbaharu menurut Naib Pengerusi Selamatkan Kuala Lumpur (SKL), Datuk M. Ali adalah cadangan untuk membina 32 tingkat apartment di lot 44 hingga 46 yang dihantar pada November tahun lalu.
Tegas M. Ali, projek itu dikhuatiri akan memberi kesan yang besar kepada rumah-rumah penduduk sekitar Jalan Abdullah.
“Rumah bersebelahan berumur lebih dari 70 tahun dan tidak mempunyai rasuk bumbung konkrit yang tidak akan mampu menahan kerja cerucuk berat semasa proses pembinaan.
“Secara kebetulan, penduduk mengetahui tentang pembinaan yang dicadangkan ini.
Sebelum ini, projek membina 15 tingkat yang mengandungi 24 unit kuaters pegawai kerajaan telah siap dibina tahun lalu.
Malah kumpulan itu turut mendakwa kesesakan lalulintas di Jalan Abdullah akan turut berlaku disebabkan jalan sempit bagi menampung kepadatan kawasan perumahan berkenaan.
Untuk rekod, projek 32 tingkat apartment itu akan dibina di lorong Lengkok Abdullah di sebelah kompleks Institut Kesihatan Umum Malaysia (IUKM), yang berhampiran dengan Bukit Persekutuan.