Berhubung pendedahan yang dibuat SPRM tentang Rosmah Mansor membuat panggilan kepada suaminya Najib Abdul Razak dengan nada marah, Rosmah tidak mahu memberi komen tentang itu.
"Datin Seri, adakah Datin Seri akan saman SPRM?" soal wartawan ketika melihat Rosmah berjalan di dalam Mahkamah Kuala Lumpur, tadi.
"Tiada apa yang saya nak cakap," kata Rosmah sambil berlalu pergi bersama anaknya Nooryana Najwa dan para peguamnya.
Namun sebelum bertanyakan soalan tersebut, petugas media sempat merakam aksi Rosmah memarahi individu di sebelahnya dipercayai peguam beliau.
"Jangan ajar aku, aku tahu lah!" kata Rosmah kepada individu terbabit.
Individu terbabit hanya membalas dengan senyuman.
Rosmah berada di Mahkamah Tinggi bagi kes perbicaraannya hari ini.
Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mendedahkan sembilan set rakaman percakapan selama 45 minit yang didakwa konspirasi jenayah pada peringkat tertinggi.
Pada sidang media khas, di Putrajaya, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, memperdengarkan klip audio berkaitan perbualan berkaitan kes skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd.
Latheefa berkata, semua rakaman percakapan yang didedahkan SPRM didakwa berlaku pada 2016, dan hasil siasatan setakat ini mendapati ia adalah tulen.