Pengisytiharan harta oleh anggota pentadbiran kerajaan dan Ahli Parlimen yang dipaparkan di laman web Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah untuk menunjukkan ketelusan dan bukan bertujuan menyiasat seseorang pemimpin berkenaan.
Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, berkata pihaknya akan membuat siasatan jika ada aduan mengenai kekayaan luar biasa pemimpin terbabit, namun dakwaan itu mesti berasas.
“Konsep pengisytiharan harta ini bukan untuk kita membuat siasatan tapi jika ada orang lain kata, kita lihat harta yang diisytiharkan Ahli Parlimen ini tidak pada dengan gaya hidupnya, ada sesuatu yang tidak kena dan memerlukan kita siasat, kita akan siasat.
“Bagaimanapun, jika hanya dakwaan tanpa asas, susahlah. Jangan minta kami siasat sebab anda sentiasa menyebut nama orang itu. Ia tidak semestinya anda mempunyai bukti tapi anda mesti ada asas mengenai dakwaan itu.
“Dalam perkara ini, pengisytiharan aset akan membantu SPRM untuk mengambil tindakan (siasatan) seterusnya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri forum “Pendedahan Rasuah Melalui Ketelusan Pemilikan Bermanfaat” di sini, hari ini.