Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong hari ini mendesak negara yang masih mengenakan hukuman mati terhadap keldai dan penagih dadah mengkaji semula undang-undang mereka kerana bukan semua yang dihukum perlu digantung sampai mati.
Beliau berkata, perlu ada semakan berasingan terhadap undang-undang berkaitan pengedar dan penagih dadah.
Katanya, pengedar dadah wajar dihukum.
“(Tetapi) penagih dadah memerlukan rawatan perubatan, bukannya penjara. Mereka tidak sepatutnya digantung.
“Keldai dadah mungkin berbuat demikian untuk beberapa ratus ringgit. Mereka juga tidak patut dihukum mati,” katanya selepas menghadiri satu majlis sempena Hari Hak Asasi Manusia di sini, hari ini.
Beliau berkata, individu kadangkala dijatuhkan hukuman mati berdasarkan andaian.