Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata tiada rancangan untuk memecat timbalannya Mohamed Azmin Ali buat masa ini.
Ini meskipun sejumlah perwakilan dari kalangan penyokong Azmin meninggalkan kongres semalam, selain ketidakhadiran beberepa pemimpin utama dari kalangan kem Azmin hari ini.
"Perkara ini tidak berbangkit. Ini hanya disuarakan oleh perwakilan tetapi tidak ada pimpinan yang bagi respons bersetuju.
"Saya tidak ada masalah berbincang tapi masalah yang disuarakan dengan kuat (oleh perwakilan) adalah sentimen yang mahu parti bersatu dan tidak tolak ansur dengan mereka yang dianggap menyimpang dari disiplin," kata Anwar pada sidang media selepas Kongres PKR di Melaka melabuhkan tirai hari ini.
Ditanya sama ada Anwar memaafkan Azmin, ahli parlimen Port Dickson itu berkata: "Saya ini memang pemaaf, tapi ini bukan soal peribadi. Saya kena dengar suara dan sentimen. Tadi saya jawab, saya dengar hasrat mereka jadi kena bagi ruang sedikit".
Anwar juga berkata bahawa ramai kalangan yang meninggalkan dewan semalam kerana tidak senang dengan ucapan perwakilan datang semula hari ini.
"Ada yang kembali, ramai yang hadir. Ramai antara mereka datang dan berkata mereka tidak bersedia untuk mengambil jalan memboikot kongres, jadi ada yang datang kembali, agak ramai," katanya.