Sentuhan dan pujukan dua gajah denak betina iaitu Abot dan Rambai berjaya ‘menjinakkan’ seekor gajah jantan liar dalam tempoh 30 minit semasa operasi di Kampung Hulu Kekabu dekat Permaisuri di Setiu, Terengganu, hari ini.
Dua gajah denak dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah di Lanchang, Pahang itu memulakan tugas 'memikat' gajah liar yang berusia 14 tahun berkenaan pada pukul 9.30 pagi tadi dan berjaya memujuknya masuk ke dalam lori pada pukul 10 pagi.
Pihak Perhilitan menerima aduan daripada penduduk mengenai kehadiran gajah liar yang merosakkan tanaman di kebun mereka pada Sabtu lepas.
Menurut Pembantu Hidupan Liar Rendah dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Zamrie Zoo, operasi kali ini adalah operasi yang paling pantas pernah dilakukan Abot dan Rambai setakat ini.
Abot yang berusia 26 tahun dan Rambai, 36 tahun memang dilatih sejak kecil untuk menjadi gajah denak dan telah berkhidmat untuk 'memikat' gajah liar di seluruh negara sejak lapan tahun lalu.
Tambahnya, setiap operasi pemindahan gajah liar tidak sama kerana ada yang mengambil masa hingga empat jam, bergantung kepada beberapa faktor seperti lokasi, keupayaan gajah denak dan pengendali serta anggota Perhilitan yang terlibat.
Sumber: Bernama