Semua kerusi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mempunyai kusyen kecuali kerusi di kandang tertuduh yang telah menyebabkan punggung Najib Razak sakit, kata peguamnya Muhammad Shafee Abdullah.
Shafee meminta Peguam Negara Tommy Thomas dan mahkamah agar kerusi kayu tempat bekas perdana menteri itu duduk berjam-jam hampir setiap hari dipasangkan kusyen.
"Anda yang lain berada di galeri awam. Anda mempunyai lapisan kusyen... Itu pun saya dimaklumkan oleh (wartawan kanan) dia rasa sakit (duduk di kerusi itu) kerana ia masih agak keras.
"Bayangkan, (tertuduh) perlu duduk di situ berjam-jam... Saya jemput anda duduk di situ hanya untuk sejam. Anda mungkin lebih muda, punggung lebih berisi daripada Najib. Kita tengok kalau anda boleh tahan.
"Ia bertentangan dengan konsep tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah. Anda sudah menghukum anak guam saya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar mahkamah.
Shafee berkata, memasang kusyen pada kerusi itu tidak akan menelan kos yang tinggi.
"Saya pasti ada antara anda yang mempunyai keluarga yang pernah didakwa. Anda tidak mahu keluarga anda itu duduk di kerusi seperti ini, dilayan seperti binatang, kerana mereka belum bersalah," katanya.
Shafee juga berkata bahawa tertuduh tidak seharusnya ditempatkan di kandang yang berpagar itu kerana Najib sudah diikat jamin dan tidak akan melarikan diri.
Pembantu Najib sering dilihat membawa kusyen sepanjang pendengaran, kemungkinan untuk dijadikan pelapik tempat duduk bekas perdana menteri itu di kandang tertuduh.