Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata kabinet membuat keputusan secara konsensus dalam melanjutkan lesen selama enam bulan kepada kilang pemprosesan nadir bumi, Lynas di Gebeng, Kuantan.
"Keputusan kabinet adalah keputusan kolektif," katanya kepada media dalam satu majlis di Sunway hari ini.
"Saya fikir Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin telah keluarkan satu kenyataan semalam dan kabinet menyokong beliau," katanya.
Bagaimanapun, untuk rekod kenyataan tersebut tidak dikeluarkan Yeo, sebaliknya oleh Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB), yang berkata kerajaan melanjutkan lesen Lynas dengan menetapkan syarat tertentu.
Sementara itu terdapat khabar angin bahawa Syed Saddiq adalah antara anggota kabinet yang menyokong lesen Lynas dilanjutkan.
Ditanya mengenai perkara itu, Syed Saddiq berkata tiada anggota kabinet yang tidak bersetuju dengan keputusan untuk melanjutkan lesen Lynas pada Rabu lalu.
"Ini adalah keputusan kabinet, bagaimana keputusan kabinet diputuskan jika ada yang tidak bersetuju?" katanya.