Bekas menteri Rafidah Aziz kecewa kerana rakyat Malaysia saling mengecam antara satu sama lain kerana orang asing.
Dengan situasi dunia yang menurutnya berkemungkinan menuju ke arah kemelesetan ekonomi, Rafidah berkata rakyat Malaysia mesti bersatu dalam menghadapi cabaran.
"Saya hanya ingin bertanya - mengapa rakyat Malaysia bergaduh sesama sendiri disebabkan orang asing yang kini dicari oleh (pihak berkuasa) negaranya sendiri?" katanya.
Rafidah berkata demikian sebagai mengulas pertikaian berhubung pendakwah kelahiran India, Dr Zakir Naik yang membuat kenyataan kontroversi dalam programnya di Kelantan minggu lalu.
Rafidah berkata rakyat Malaysia mempunyai isu sendiri untuk ditangani, yang mempunyai kaitan langsung dengan masa depan negara dan generasi muda.
"Kenapa ada di antara kita yang masih sangat mudah mindanya terperangkap dalam pelbagai perkara atas nama agama?
"Kita tidak boleh membiarkan perkara-perkara yang tiada kaitan, tidak relevan mengalihkan perhatian kita dari isu-isu sebenar yang perlu ditangani," katanya dalam mesej teks kepada Malaysiakini petang ini.
Rafidah juga menegaskan bahawa terdapat tindakan undang-undang yang boleh diambil berhubung status Zakir dan ia akan berpihak kepada negara asal pendakwah itu.
Rafidah turut mengingatkan bahawa Malaysia juga sedang menunggu pemulangan beberapa pelarian yang mahu dibawa ke muka pengadilan.
"Saya menggesa rakyat Malaysia supaya tidak membiarkan perkara-perkara yang tidak relevan menyebabkan perpecahan dalam kalangan masyarakat kita dan tidak ada pihak yang seharusnya menjadikan masalah itu modal politik," tambahnya.
Pihak berkuasa India sebelum ini meminta Putrajaya untuk mengekstradisi Zakir untuk dibawa pulang ke negaranya bagi menghadapi tuduhan pengubahan wang haram.
Bagaimanapun, Zakir menegaskan bahawa dakwaan terhadapnya palsu, dan keengganan polis antarabangsa (Interpol) untuk memberikan Notis Merah merupakan bukti.
Sebelum ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Zakir, yang merupakan penduduk tetap Malaysia, tidak akan dihantar pulang kerana ada kebimbangan bahawa beliau mungkin tidak akan diberikan perbicaraan yang adil.
Zakir, yang mendapat status penduduk tetap ketika di bawah kerajaan BN pada 2012, menimbulkan kemarahan masyarakat apabila dalam ceramahnya di Kelantan minggu lalu menyifatkan rakyat Malaysia dari kaum Cina sebagai "tetamu lama" di Malaysia, selain mempertikai kesetiaan masyarakat India di Malaysia terhadap perdana menteri.
Zakir berkata demikian sebagai respons balas atas gesaan pengkritiknya supaya beliau keluar dari negara ini.
“Kamu tahu tak yang ada orang yang panggil saya seorang tetamu? Jadi saya kata, sebelum saya (datang), kaum Cina adalah tetamu. Jika kamu mahu tetamu baru keluar dulu, minta tetamu lama pulang.
“Kaum Cina, kebanyakan dari mereka tidak lahir di sini, mungkin generasi baru, ya (lahir di sini),” katanya.