'Najib kritik Robert Kuok, saya hanya pertahankan dia'

KiniTV 2019-07-15

Views 5.4K

Anggota Parlimen Padang Rengas Nazri Abdul Aziz menempelak Najib Razak yang semalam mendakwa undi kaum Cina merosot terhadap BN pada PRU ke-14 disebabkan kiritikan melampau yang dibuatnya terhadap hartawan Robert Kuok.

Dalam satu lagi serangannya terhadap bekas perdana menteri, Nazri berkata kenyataannya ketika itu hanyalah untuk mempertahankan kritikan Najib - selaku presiden Umno - terhadap Kuok.

“Dia (Najib) yang mula-mula buat kenyataaan. Saya hanya keluarkan kenyataan mempertahankan dia. Tapi akhirnya kita semua tahu bahawa Robert Kuok memang menyokong DAP.

“Saya pertahankan dia selaku presiden (Umno) ketika itu. Saya mempertahankan kenyataan Najib yang menuduh Robert Kuok dapat banyak projek dari kerajaan, tapi akhirnya tak menyokong kerajaan,” katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.

Semalam Najib berkata kritikan Nazri terhadap Kuok - yang disifatkannya sebagai melampau - menyinggung perasaan kaum China sehingga menolak BN pada PRU lalu.

Dalam program di Batu Kawan semalam, Najib mendakwa beliau diberitahu tentang perkara itu oleh MCA.

Nazri berkata kemerosotan undi kaum Cina bukan berpunca daripada kenyataan mana-mana pihak, tetapi akibat kaum itu yang telah menolak BN.

“Bila kita tengok MCA pun, dia bukan kalah kerana kenyataan itu, (tetapi) kerana masyarakat Cina dah tak sokong dia. Trend masyarakat Cina tak sokong Najib dah lama dah.

“Kalau (saya) tak pertahankan Najib pasal kenyataan (beliau terhadap) Robert Kuok pun, mereka (MCA) tetap kalahl. Tak ada kena-mengena dengan kenyataan saya.

“Jadi Najib kena periksa fakta dulu (sebelum bercakap),” katanya lagi.

Sementara itu, Nazri berkata kritikannya terhadap Najib yang baru dilantik sebagai pengerusi Lembaga Penasihat BN adalah pandangan peribadinya sendiri.

"Saya ada pandangan sendiri, ia tak salah. Saya tak mewakili parti. Saya hanya ketua bahagian Padang Rengas. Umno kata amalkan demokrasi, jadi tak salah kita kritik tindakan parti yang dibuat tanpa merujuk kepada Majlis Tertinggi (MT).

"Saya difahamkan, Zahid (presiden Umno dan pengerusi BN) tak runding dengan MT. Ia (melantik Najib) adalah keputusan dia sendiri. Saya berhak suarakan pandangan saya. Tak ada siapa boleh halang," katanya lagi.

Share This Video


Download

  
Report form