Pemilik empat lebuh raya utama sudah bersetuju dengan tawaran kerajaan dalam mengambil alih infrastruktur berkenaan namun ia perlu mendapat kelulusan kabinet.
Ketika ditanya mengenai penerimaan tawaran itu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata keputusan untuk memuktamadkan perjanjian itu belum dibuat.
"Kita (kabinet) belum buat keputusan," katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.
Terdahulu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng memberitahu Dewan Rakyat bahawa perjanjian itu akan ditapis sekali lagi walaupun tawaran telah diterima oleh syarikat konsesi.
"Tawaran bersyarat, apabila ia diluluskan oleh para pemegang saham dan pemegang konsesi dari empat lebuh raya, masih tertakluk kepada kelulusan kabinet," katanya.
Kerajaan dalam rangka mengambil alih empat lebuh raya iaitu Expressway Sprint, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong Smart bagi kos keseluruhan RM6.2 bilion.
Empat syarikat induk itu, Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd (Sprint), Kesas Sdn Bhd (Kesas), Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (Litrak) dan Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd, sudah menerima tawaran itu.
Gamuda Bhd mempunyai kepentingan dalam empat lebuh raya berkenaan.
Kerajaan berharap dengan mengambil alih lebuh raya bagi menyingkirkan unsur meraih keuntungan dan oleh itu mengenakan caj kesesakan pada kadar yang lebih rendah berbanding dengan sistem tol semasa, yang akan berubah mengikut tempoh puncak dan bukan puncak.
Lim berkata pengguna empat lebuh raya itu akan menjimatkan sekitar RM180 juta setahun manakala kerajaan boleh menjimatkan wang pampasan RM5.3 bilion yang diperlukan untuk membekukan kadar tol di bawah sistem semasa.