Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming kesal dengan sikap Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman yang ingkar arahannya untuk tidak mengganggu persidangan yang sedang berlangsung.
Nga menjelaskan menjadi amalan biasa bagi Timbalan Menteri untuk menjawab soalan-soalan yang diajukan ahli parlimen, yang telah diamalkan oleh kerajaan lalu.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Tajuddin sebentar tadi diarahkan keluar daripada sesi sidang Dewan Rakyat hari ini dan digantung selama empat hari, apabila ingkar arahan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming untuk tidak mengganggu persidangan yang sedang berlangsung.
Hal itu bermula apabila Tajuddin tidak berpuas hati mengapa Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub tidak menunggu untuk menjawab soalannya mengenai program tanaman kontan, tetapi mewakilkan Timbalan Menteri, Sim Tze Tzin.
Kerana luahan rasa tidak puas hatinya dianggap memakan masa yang lama, Nga tidak membenarkan anggota Parlimen Pasir Salak itu meneruskan peluang untuk bertanyakan soalan tambahan.