Soalan Anggota Parlimen Labis, Pang Hok Liong di Parlimen sama ada dua nombor plat kereta yang digunakan oleh kerabat diraja Johor telah berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menimbulkan kemarahan pembangkang Johor.
Ketua Pembangkang Johor Hasni Mohammad cuba membawa usul tergempar di Dewan Undangan Negeri dengan mendakwa Pang menghina Sultan Johor.
Soalan bertulis Pang di parlimen berbunyi: Minta menteri pengangkutan menyatakan sama ada nombor plat “TMJ” dan “RZ” telah didaftarkan dengan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan sebagai pendaftaran kenderaan yang sah oleh mana-mana pihak dan sekiranya tidak, sama ada kenderaan-kenderaan yang mempunyai nombor plat itu dibenarkan di atas jalan raya.
Dalam usul tergemparnya, Hasni mempersoalkan kewajaran seorang anggota parlimen membangkitkan apa-apa soalan mengenai institusi diraja.
Beliau juga mahu tahu pendirian kerajaan Johor terhadap soalan Pang.
Bagaimanapun, speaker Johor Suhaizan Kaiat menolak usul itu dan menggesa exco negeri memberikan jawapan ketika penggulungan titah Sultan.
"TMJ" merupakan nombor plat digunakan Putera Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim manakala nombor plat RZ digunakan oleh Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah.
Bercakap pada sidang akhbar selepas itu, Hasni mengkritik keputusan untuk tidak membenarkan usul tergempar itu dibahaskan.
"Sukar bagi kami untuk terima sekiranya usul ini dianggap sebagai tidak perlu disegerakan.
"Apa juga perkara melibatkan institusi raja, saya tidak dapat cari alasan kenapa harus kita tangguhkan. Lebih-lebih lagi Peraturan Dewan Fasal 15, 16 dan 17 jelas menekankan tentang peraturan dan juga kenyataan-kenyataan yang boleh dibuat oleh seorang ahli dewan," katanya.
Hasni berkata dalam Dewan Undangan Negeri Johor, terdapat peruntukan yang menghalang wakil rakyat daripada membahaskan tingkah laku sultan.
"Saya yakin Dewan Rakyat juga mempunyai peraturan yang sama," katanya yang mempersoalkan bagaimana Dewan Rakyat boleh meluluskan soalan itu.
Soalan disenaraikan itu adalah soalan ke-40 dalam kertas perintah Dewan Rakyat dan kerajaan persekutuan perlu memberikan jawapan dalam jawapan bertulis.
Hasni berkata plat nombor kereta itu telah digunakan untuk tempoh masa yang paling lama dan menyifatkan soalan mengenainya sebaga penghinaan kepada Sultan Johor.
"Ini adalah soalan yang boleh dianggap menghina institusi diraja kerana sebagai rakyat Johor untuk sekian lama plat nombor TMJ an RZ sememangnya ada di jalan raya bagi menghadiri majlis-majlis2.
"Sebagai ahli parlimen labis, saya kira adalah amat tidak wajar," katanya.