Perbahasan panas antara ahli politik Pakistan dan seorang wartawan bertukar menjadi pergaduhan ganas ketika siaran langsung disiarkan menerusi televisyen.
Pemimpin kanan parti pemerintah Tehreek-e-Insaf (PTI), Masroor Ali Siyal, menyerang wartawan dan presiden Kelab Akhbar Karachi, Imtiaz Khan, ketika muncul dalam rancangan ‘News Line with Aftab Mugheri’ malam Isnin lalu.
Sebelum pergaduhan tiba-tiba itu, Siyal kedengaran memberi amaran kepada Khan mengenai nada suaranya.
Mereka akhirnya dileraikan kru dan tetamu lain ketika program langsung itu terus disiarkan.
Rakaman pergaduhan segera tular, mengundang ketawa dan kritikan terhadap kelakuan kedua-duanya.
Siyal duduk semula di tempatnya untuk meneruskan perbincangan manakala Khan meninggalkan studio beberapa minit sebelum kembali dan memberi amaran keras kepada Siyal sambil mengambil tempat duduknya. — Agensi