Sangat memahami kesan difitnah dan dituduh dalam politik, Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata beliau tidak pernah berharap pengalaman itu dilalui orang lain selepasnya.
Membuat catatan di media sosial, Anwar berkata ada sebab mengapa Islam meletakkan kesalahan memfitnah itu lebih dahsyat berbanding membunuh.
"Mengapa ia lebih parah daripada membunuh? Kerana gejala seperti ini boleh dianggap membunuh, cumanya ia dalam bentuk yang lain.
"Ia menghancurkan peribadi, kegembiraan, menimbulkan syak wasangka dan meleburkan perpaduan - perkara-perkara yang menjadi pengikat antara masyarakat, dan asas penting persahabatan dan ummah," katanya.
Menurut Anwar lagi malangnya fitnah kini menjadi asam garam dalam politik.
Katanya apabila satu pihak gagal menundukkan musuhnya melalui dasar dan prisip, maka mereka memilih jalan fitnah dan penipuan.
"Saya telah lama difitnah dalam tahun-tahun lampau sepanjang hidup berjuang.
"Saya kehilangan ramai teman dan juga masa bersama yang tersayang. Dan peristiwa ini bukanlah sesuatu yang saya harapkan terjadi pada orang lain," katanya.
Anwar berkata sesuatu fitnah yang diulang-ulang akhirnya akan menyebabkan orang ramai percaya bahawa ia adalah sesuatu yang benar.
Keadaan menjadi lebih buruk, kata anggota parlimen Port Dickson itu lagi, kerana sekarang adalah zaman media sosial dan berita palsu berleluasan.
Menurut Anwar lagi orang ramai perlu memastikan mereka tidak terjerumus ke dalam kegiatan yang menjurus kepada fitnah.
"Kita telah ditimpa pelbagai mehnah dan tribulasi pada masa lalu, dan akan ada cubaan baru untuk menghancurkan perpaduan sesama kita.
"Ia akan hanya digagalkan apabila kita berdiri dengan prinsip dan integriti," katanya.