Satu laporan qazaf akan dibuat di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan di Putrajaya esok berhubung pengakuan seorang pemuda yang mendakwa melakukan hubungan intim dengan seorang menteri dalam satu video yang tular semalam.
Hal ini dimaklumkan setiausaha politik kepada menteri hal ehwal ekonomi, Hilman Idham.
Qazaf atau perbuatan melemparkan tuduhan zina merupakan suatu kesalahan syariah.
Menurut Hilman pihaknya akan berbuat demikian selepas satu laporan polis berhubung perkara itu dibuat terlebih dahulu.
"Esok InsyaAllah jam 10 pagi, satu laporan polis akan dibuat terhadap satu pengakuan jenayah oleh seorang pemuda di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.
“Kemudian, satu laporan qazaf juga akan dibuat di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Putrajaya,” katanya selepas majlis solat hajat dan bacaan Yassin di kediaman Menteri Besar Selangor di Shah Alam, malam ini.
Majlis berkenaan disertai Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Rashid Hasnon serta beberapa pimpinan PKR yang lain.
Awal pagi tadi, Ketua Angkata Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz membuat pengakuan dirinya merupakan salah seorang individu dalam video seks yang tersebar itu.
Haziq yang juga setiausaha sulit kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Md Akin turut mendakwa video tersebut dirakam pada 11 Mei lalu di sebuah bilik hotel di Sandakan ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK).