Ketiadaan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat, Dr Wan Azizah Wan Ismail di pejabatnya hari ini untuk menerima satu memorandum, mengundang kemarahan aktivis orang kurang upaya (OKU) Anthony Thanasayan.
Anthony mendakwa pihaknya telah berbincang lebih awal dengan pihak kementerian berkenaan kunjungan tersebut.
"Kami susah hendak datang ke sini untuk berjumpa menteri tetapi mereka menghilangkan diri...Kami mahu menyerahkan memorandum dan berbincang berkenaan bagaimana untuk bantu OKU.
“Ini mereka hilangkan diri. Dia (Wan Azizah) patut letak jawatan,” katanya ketika sidang media di depan kementerian tersebut di Putrajaya.
Beliau disertai kira-kira 20 aktivis lain serta wakil NGO OKU, Kehidupan Bebas dan Pusat Latihan Malaysia (ILTC).
Memorandum berkenaan antara lain mengandungi cadangan terhadap kementerian berkenaan dasar berkaitan OKU dan penambahbaikan bantuan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Lebih menaikkan kemarahan Thanasayan apabila dia mendapati tempat letak kereta khas OKU di situ telah disalah guna salah seorang kakitangan kementerian tersebut, sehingga menyebabkan kesukaran kepada pihaknya.
“Malah parkir OKU juga diguna oleh kementerian. Kami nak parkir mana? Terkilan sungguh,” katanya lagi,
Memorandum tersebut diterima oleh wakil kementerian.
Berkenaan tempat letak kereta khas OKU yang didakwa disalah guna, wakil kementerian berkata kereta tersebut milik salah seorang kakitangan tetapi enggan mengulas lanjut.
Ketika sidang media, Presiden ILTC G Francis Siva menggesa kerajaan mengkaji dan mengemas kini dasar-dasar berkaitan OKU, terutama yang berada di bawah JKM.
"Bantuan seperti elaun pekerja cacat, geran pelancaran dan bantuan penjagaan OKU perlu diperbaiki oleh kerajaan baru,” katanya.