Pemimpin dan anggota Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu akur bahawa tiada jaminan untuk mereka mengisi jawatan tertinggi dalam institusi kerajaan serta mendapat nikmat dan ganjaran setelah menjadi kerajaan, kata Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad.
Perdana Menteri berkata walaupun mungkin ada antara mereka yang berputih mata atau kecewa namun itulah pengorbanan yang mereka perlu lakukan walaupun telah berhempas pulas membawa kemenangan kepada Bersatu dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.
"Ini adalah sesuatu yang menyedihkan kita, tetapi ingatlah ini janji kita.
"Kerajaan tak boleh guna kuasa untuk beri kekayaan atau tempat tertentu kepada penyokong atau pemimpin mereka," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa Bersatu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada Selasa.