Kerajaan sedang mengkaji cadangan pemberian subsidi tidak langsung kepada graduan dalam bentuk gaji dan elaun melalui majikan mereka bagi menggalakkan pengambilan pekerja tempatan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata cadangan tersebut dibentangkan dalam mesyuarat khas Kabinet semalam yang membincangkan langkah mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing susulan keengganan rakyat tempatan bekerja dalam bidang tertentu.
"Kita ada cadangan tetapi belum buat keputusan. Kita akan kaji sama ada kita ada wang cukup atau tidak," katanya pada sidang media selepas melancarkan platform e-dagang Commodities Global Trade Sdn Bhd, di sini hari ini.