TERKINI: UMNO kemuka bukti kukuh wang RM116.7 juta di mahkamah - Presiden UMNO

Malaysia Gazette TV 2019-04-23

Views 14

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan partinya akan mengemukakan bukti kukuh berhubung wang RM116.7 juta milik mereka yang dirampas oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) di mahkamah.

Ujarnya, permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menuntut wang berkenaan dibuat setelah bukti dan dokumen sahih mengenai wang tersebut dikumpulkan.

“Itu kita akan kemukakan di mahkamah nanti apabila tiba waktunya,” katanya ringkas di lobi Parlimen.

Ahmad Zahid diminta mengulas mengenai kenyataan peguam PDRM dan kerajaan, Peguam Kanan Persekutuan, Mohammad Sallehuddin Md Ali yang berkata, UMNO tidak mempunyai locus standi untuk mengemukakan permohonan itu.

Isnin lalu, Mohammad Sallehuddin berkata, PDRM dan kerajaan akan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman oleh UMNO yang menuntut wang RM116.7 juta dirampas daripada bekas presiden mereka, Datuk Seri Najib Razak, dipulangkan.

“Kita menghormati pandangan oleh pihak PDRM. Namun kita telah mengemukakan tindakan penrundangan untuk menuntut tuntutan yang dirampas dan kita akan mengikuti proses perundangan yang berikutnya iaitu termasuk membawa kes ini ke mahkamah dan biar mahkamah memutuskannya,” kata Ahmad Zahid.

Pada 24 September lalu, UMNO memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menuntut wang RM116.7 juta milik mereka yang dirampas oleh PDRM.

Saman itu dikemukakan melalui Datuk Seri Abd Rauf Yusoh sebagai pegawai awam UMNO dan plaintif dalam kes tersebut.

Melalui dokumen yang diperoleh, mereka menamakan Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Datuk Mohd Sakri Arifin; Penolong Pesuruhjaya Polis JSJK, R Rajagopal; Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh; Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan kerajaan sebagai defendan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, UMNO antara lain memohon deklarasi bahawa penggeledahan dan penyitaan yang dilaksanakan pada 17 Mei 2018 di premis adalah salah di sisi undang-undang. -MalaysiaGazette

MalaysiaGazette.com - Online News / Portal - Follow US Now! Or visit www.malaysiagazette.com for the latest news on politics, economy, fashion, travel, lifestyle and more www.malaysiagazette.com

Share This Video


Download

  
Report form