TERKINI: Bajet Alternatif - BN kembalikan GST dengan 3 peratus

Malaysia Gazette TV 2019-04-23

Views 5

KUALA LUMPUR - Sempena perbentangan Bajet 2019 esok, Barisan Nasional selaku pembangkang mengemukakan beberapa cadangan yang dipanggil 'Inisiatif ekonomi rakyat'.

Menurut Menteri Kewangan Bayangan BN, Khairy Jamaluddin, antara inisiatif yang dicadangkan adalah mengembalikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dengan tiga peratus.

Ia adalah antara sembilan cukai baharu yang dicadangkan oleh BN.

"BN mencadangkan pengenalan semula GST pada kadar 3 peratus. Cukai GST yang lebih telus dan cekap akan diperkenalkan semula
dengan kadar lebih rendah dan jumlah senarai barangan dikecuali yang lebih banyak.

"Jumlah hasil dijangka adalah sama dengan jumlah kutipan di bawah SST," katanya dalam perbentangan bajet alternatif BN yang dipanggil "Insiatif Ekonomi Rakyat'.

Bertemakan 'Merancakkan pembangunan, meningkatkan pengagihan, kalis masa depan', antara lain BN turut memfokuskan kepada Cukai Soda, pada kadar RM0.25 bagi setiap liter, Cukai Karbon dengan mengenakan caj RM10 bagi setiap tan metrik kepada kilang industri yang mengeluarkan gas rumah hijau sekurang-kurangnya 25,000 tan metrik.

Malah rakyat juga akan dikenakan Cukai Beg Plastik menerusi caj RM0.15 yang akan memberikan pulangan sebanyak RM12.46 bilion setahun kepada kerajaan.

Selain itu, Cukai Kekayaan juga akan diperkenalkan terhadap individu yang mempunyai harta terkumpul tahunan melebihi RM10 juta sama ada melalui gaji, elaun, hartanah atau hasil pelaburan.

"Juga BN akan memperkenalkan cukai Tobin yang dikenakan ke atas transaksi saham jangka masa pendek bagi mengawal spekulasi yang boleh memberi risiko ketidaktentuan pasaran saham.

"Penstrukturan Semula Cukai Pendapatan Individu ke atas banjaran sedia ada cukai pendapatan individu dengan pengenalan kategori pendapatan RM350,000 ke atas dan RM500,000 ke atas," katanya lagi.

Dalam pada itu, Khairy berkata BN akan meneruskan kembali projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) bagi menjana peluang pekerjaan dan memastikan wilayah-wilayah di luar Kuala Lumpur menerima pembangunan yang setara. -MalaysiaGazette


MalaysiaGazette.com - Online News / Portal - Follow US Now! Or visit www.malaysiagazette.com for the latest news on politics, economy, fashion, travel, lifestyle and more www.malaysiagazette.com

Share This Video


Download

  
Report form